Wednesday, February 23, 2011

ASBAB NUZUL

Asbab  nuzul atau sebab-sebab disebalik turunya ayat al-quran merupakan satu cabang ilmu dari ilmu-ilmu berkaitan al-quran. Seperti mana hadis yang mempunyai sebab wurudnya, begitu juga ayat al-quran yang sebahagiannya diturunkan dengan sebab dan kisah tertentu disebaliknya.

            Asbab nuzul membantu dalam mengahayati kisah-kisah dan sejarah kehidupan para nabi dan para sahabat serta umat-umat terdahulu supaya kita dapat mencari perbezaan dan persamaannya dengan umat manusia pada zaman ini seterusnya mengambil intifadah daripada sebahagiannya dan menjadikan sebahagian lagi sebagai pengajaran dalam kehidupan.

            Dengan mengkaji asbab nuzul sesuatu ayat, seseorang individu dapat mendalami dan menghayati isi kandungan al-quran serta dapat mengetahui hukum-hukum yang telah disyariatkan oleh Allah kepada manusia kerana ia juga merupakan kaedah untuk mengistinbatkan sesuatu hukum. Contohnya melalui asbab nuzul surah an-Nisa’ ayat 3, kita dapat mengistinbatkan hukum harus dalam berpoligami. Di sini saya bawakan dalil yang berkaitan beserta hukum-hukum yang diistinbatkan daripadanya.
Dalam surah an-Nisa’ ayat 3, Allah menyebut

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً.....(3)
Terjemahannya: Dan jika kamu khawatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi dua,tiga atau empat. Tetepi jika kamu khawatir tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja, atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim.
            Ayat ini telah menentukan beberapa hukum berkaitan perkahwinan. Kita akan sama-sama mengenalpasti apakah hukum-hukum tersebut dan bagaimana ia diistinbatkan kepada ayat ini.
 Jawapannya ialah, terdapat tiga hukum di dalam ayat di atas. Pertama, harus berkahwin dengan mana-mana perempuan yang disenangi. Kedua, harus berpoligami dan dihadkan sehingga empat orang isteri. Ketiga, jika khuatir tidak dapat berlaku adil, maka wajib mengahwini seorang isteri sahaja.
Hukum pertama diistinbatkan kepada ayat tersebut berdasarkan peristiwa ketika Urwah bin Zubair bertanya kepada Aisyah radiyallahu ‘anha tentang firman Allah subhanahu wa ta’ala: ( وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى..) maka Aisyah radiyallahu ‘anha  menjawab, wahai anak saudaraku, yatim yang dimaksudkan di sini adalah anak perempuan yatim yang ada di bawah asuhan walinya yang mempunyai harta kekayaan yang bercampur dengan harta walinya itu. Harta dan kecantikan anak yatim ini menjadikan walinya tertarik untuk menikahinya tetapi walinya tidak mahu berlaku adil dalam membayar mahar kepada anak yatim ini sepertimana bayaran mahar yang sepatutnya diberikan kepada perempuan-perempuan lain. Hal ini menyebabkan wali anak yatim dilarang menikahinya kecuali sekiranya ia mahu berlaku adil serta membayar mahar yang sepatutnya atau mahar yang lebih tinggi dari biasanya. Oleh kerana itu, para wali diperintahkan menikahi perempuan-perempuan lain yang mereka senangi. Daripada asbab nuzul ayat ini, kita dapat memahami dengan jelas bahawa seseorang lelaki dibolehkan mengahwini mana-mana perempuan yang mereka suka atau mereka senangi. Tetapi suka untuk saya ingatkan di sini bahawa Rasulullah telah menetapkan garis panduan kepada umatnya berkaitan ciri-ciri dalam membuat pemilihan calon pasangan hidup.  (*)
   Hukum kedua mengharuskan berpoligami tetapi dihadkan hanya kepada empat orang isteri sahaja. Hukum ini diistinbatkan berdasarkan amalan berpoligami yang diamalkan oleh masyarakan arab semenjak zaman nabi malahan diamalkan oleh nabi-nabi sebelum nabi Muhammad s.a.w lagi. Namun bilangan isteri yang mereka kahwini tidak dihadkan kepada bilangan tertentu. Selepas ayat ini diturunkan, ia menunjukkan bahawa Islam membolehkan berpoligami tetapi hanya dihadkan kepada empat orang isteri sahaja dalam waktu yang sama dan tidak boleh melabihi bilangan itu.
    Hukum ketiga mewajibkan seseorang menikahi seorang isteri sahaja sekiranya khuatir tidak dapat berlaku adil. Hukum ini juga diistinbatkan berdasarkan amalan berpoligami yang dibolehkan dalam Islam. Berlaku adil yang dimaksudkan di sini ialah adil dalam memenuhi keperluan isteri seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, giliran dan lain-lain yang bersifat lahiriah dan batiniah.
     Hukum berkenaan berpoligami ini juga telah disepakati oleh ijma’ ulama. Hal ini dijelaskan pula oleh hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam kitab Daruquthni dalam sunannya bahawa: Nabi berkata kepada Ghailan bin Umayyah Ats-Tsaqafah yang masuk Islam dan ia mempunyai sepuluh orang isteri. Nabi bersabda: “pilihlah empat orang di antara mereka dan ceraikanlah yang lainnya”. Hadis ini juga menjadi dalil yang berperanan menguatkan lagi hukum yang terdapat di dalam surah an-Nisa’ ayat 3 berkaitan perkahwinan.
Maklumat yang telah saya kongsikan di ruangan ini bertujuan untuk santapan dan renungan sahabat-sahabat serta para pencinta ilmu Allah yang sangat luas ini. Harapan saya semoga perkongsian ini mendapat pandangan dan buah fikiran daripada para pembaca untuk penambahbaikkannya di samping dapat mencambahkan ilmu baru dalam kehidupan kita serta dapat meningkatkan keyakinan terhadap pencipta Yang Agung yang telah mensyariatkan ilmunya, agama yang diredhai di sisinya serta hidayahnya kepada manusia seluruh alam dengan kalamnya yang indah yang tiada tara.
(*) Terdapat persoalan yang tersembunyi.
  DITULIS  OLEH NOOR NURULUFA BT MAT SAAD                                                                                                                                              

No comments:

Post a Comment